Kita sering kali mendengar mengenai malam nisfu syaaban iaitu malam tanggal 15 Syaaban tahun qamariah (tahun hijrah). Pada malam tersebut kebanyakan umat islam di Malaysia melazimi membaca Yaasin sebanyak tiga kali. Tahukah sahabat sekalian bahawa pada malam ini Allah Subhanahu Wa Taala telah membuka pintu rahmat buat sekalian makhluk ciptaanNya??
Rasulullah Shollallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud : “ Malaikat Jibril `alaihissalam mendatangiku pada malam Nisfu (15) Syaaban seraya berkata : “Hai Muhammad, malam ini pintu-pintu langit dan pintu rahmat di buka. Bangunlah dan solatlah, angkat kepalamu dan tadahlah dua telapak tanganmu ke langit.” Aku bertanya : “hai Jibril, malam apakah ini?”
Jibril menjawab : “Malam ini dibukakan 300 pintu rahmat.Tuhan mengampuni segala kesalahan orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, kecuali tukang sihir, tukang nujum, orang yang bermusuhan, orang yang terus menerus meminum khamar, dan terus menerus berzina, memakan riba, derhaka kepada ibu bapa, orang yang suka mengadu domba, dan orang yang memutuskan silaturrahmi. Tuhan tidak akan mengampuni mereka sehingga mereka bertaubat dan meninggalkan kejahatan-kejahatan itu.”
Sahabat sekalian juga sedia maklum, pada malam ini juga malam di mana buku-buku amalan kita yang bergelar hamba di angkat ke langit. Buku-buku tersebut diperjalankan oleh Malaikat Hafazah merentasi tujuh lapisan langit yang setiap satu lapisan terdapat malaikat yang menjaga pintunya. Perjalanannya tidak mudah yang disangka, jika tersilap langkah Allah swt tidak akan menerima buku amalan kita itu dan dilemparkan ke muka kita semula.
Jadi apakah persediaan kita supaya Allah swt menerimanya??
Mari lihat apa persiapan Baginda Rasulullah shollallahu `alaihi wasallam…
Zaid berkata : “ Aku telah bertanya kepada Rasulullah saw , Ya Rasulallahaku tidak pernah menyaksikan seumpama puasamu di bulan Syaaban di dalam lain-lain bulan kecuali bulan Ramadhan.”
Rasulullah saw bersabda : “ Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadhan, ia adalah bulan di mana segala amalan di angkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku amat suka sekiranya amalanku di angkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa.” (HR Ahmad)
No comments:
Post a Comment